Karya terbaru ini telah dipamerkan dalam pameran 'SUARASA II' di Segaris Art Center, Solaris Kuala Lumpur bersempena juga dengan pameran kemerdekaan M50.
Karya ini menceritakan kepelbagaian aspek komentari sosial di mana keruntuhan 'Harapan' yang sentiasa ada pada setiap individu, komuniti mahupun sesebuah negara telah dipersoalkan realistiknya. Dalam konteks sosial masyarakat Malaysia, pelbagai harapan telah diletakkan oleh rakyat kepada pentadbiran negara sehingga ia berada hampir diluar ruang realiti. Pelbagai isu seperti taraf hidup yang kian meningkat, minyak, perumahan hinggalah ke barangan harian sering menjadi isu bualan. Namun kita tidak boleh melihat ia sebagai negatif sahaja, dari perspektif saya sebagai pengkarya, permainan emosi yang terlalu tinggi pada 'Harapan' boleh meletakkan kita kepada keruntuhan kadar usaha. Kita tidak boleh sama sekali bergantung harap pada orang lain mahupun keadaan yang seakan-akan berpihak pada kita, sebaliknya kita sendiri harus memecahkan segala kebuntuan serta kekurangan diri melalui usaha. "No More Hope to be Reliance..Get Survive.." adalah merujuk kepada sokongan moral secara asas tentang konsep berdikari untuk teruskan kehidupan tanpa mengharapkan keupayaan pihak lain melainkan kehendak Allah S.W.T.
Secara formalistiknya karya ini adalah hasil penggabungan (hybrid) 'elemen' artifak dan juga mekanikal robotik sebagai subjek visual. Pengkarya telah mengandaikan sifat-sifat yang ada pada salah seekor dari spesis dinosaur iaitu Velociraptor yang bersifat bijak dalam surviving behavior sebagai metafora sifat peribadi yang diperlukan oleh pengkarya itu sendiri dalam kehidupannya. Kedudukan sebuah kotak kayu yang tertulis 'HOPE' itu merujuk kepada segala harapan yang berada dalam jiwa pengkarya tersebut. Jika dilihat secara visual, Raptor tersebut sedang mencengkam kotak harapan sehingga pecah itu mencerminkan bahawa ia tidak memerlukan harapansebagai pergantungan, tetapi usaha dalam kehidupan. Raptor tersebut dihidupkan secara fantasi visual atas idea sains fiksyen dimana manusia terus mengusahakan teknologi agar dapat menjangkau batas upaya dan terus hidup.
Karya seni arca ini adalah gabungan dari pelbagai medium seperti fiberglass, resin, bahan besi mekanikal, besi industri, polyfinished, nat, bolt, bitumen dan laquer.
No comments:
Post a Comment